Kayu pallet yang boleh didapati di pasaran, tidak semuanya sesuai digunakan untuk membuat perabut projek diy anda. 

Kebiasaannya, pallet yang dihasilkan menggunakan spesis kayu pine untuk tujuan import/eksport perlu melalui proses fumigasi.

Tujuan? Untuk mengelakkan makhluk perosak ataupun penyakit tumbuhan dari merebak dari satu negara ke negara yang lain di seluruh dunia.

Pihak International Plant Protection Convention(IPPC) yang bertanggungjawab untuk memantau dan mengawal selia penyebaran tersebut daripada berlaku. Oleh itu, setiap pengeluar pallet untuk tujuan import/eksport ini memerlukan sijil ISPM15 sebelum pallet keluaran syarikat mereka boleh digunakan.

Terdapat dua jenis teknik fumigasi yang digunakan keatas pallet yang dihasilkan iaitu teknik Heat Treatment(HT) dan juga teknik menggunakan bahan kimia yang dikenali sebagai Methyl Bromide (MB).

Hanya pallet yang menggunakan teknik Heat Treatment(HT) sahaja sesuai digunakan untuk projek diy anda. Ini adalah kerana ianya tidak menggunakan sebarang bahan kimia dan menggunakan teknik pemanasan di dalam oven sahaja iaitu pada suhu minima 56 °C (133 °F) dan paling kurang tempoh selama 30 minit masa yang telah di tetapkan oleh IPPC.

Pallet yang menggunakan teknik fumigasi bahan kimia yang dikenali sebagai Methyl Bromide (MB) sama sekali tidak selamat digunakan dan perlu dielakkan penggunaannya utk tujuan pembuatan perabut dan sebagainya.

Kiln-dried? Teknik kiln-dried merupakan proses untuk mengurangkan kandungan air (moisture content) dalam kayu dan ianya 100% selamat untuk digunakan bagi pembuatan perabut dan sebagainya kerana ianya tidak menggunakan bahan kimia semasa proses kiln-dried dijalankan. Proses kiln-dried biasanya dilakukan didalam ruang pengeringan (kiln) dengan kawalan suhu yang tertentu dan terkawal untuk memastikan pengeringan kayu berlaku secara perlahan dan teratur. Kebiasaanya proses kiln-dried ini dilakukan sehingga kayu tersebut mengandungi kandungan air (moisture content) sehingga 10-22% dan ianya bergantung kepada kegunaan kayu tersebut.

Adakah kayu pallet ini selamat jika digunakan untuk tujuan pembuatan perabut dan terutamanya untuk membuat perkakasan dapur seperti chopping board, senduk dan sebagainya?

Jawapannya adalah selamat jika anda benar-benar tahu asal usul/sejarah pallet tersebut. Item berikut adalah WAJIB anda pastikan :

1. Jenis treatment yang digunakan. Selama jika ianya jenis Heat Treatment(HT) pallet.

2. Pallet tersebut tidak digunakan untuk membawa bahan kima berbahaya dan tiada bahan kimia berbahaya pernah tertumpah ke atas pallet tersebut.

Risiko yang anda ambil adalah amat besar kerana anda tidak akan dapat pastikan 100% sejarah dan kegunaan pallet tersebut.

Apatah lagi jika anda membeli pallet yang telah dibuka/dileraikan daripada pallet-pallet seperti yang ada dijual dipasaran. Sukar untuk membezakan di antara kayu pallet yang melaui proses fumigasi secara HT ataupun MB kerana kedua-duanya kelihatan sama sekiranya telah dileraikan. Ini adalah kerana cop/tanda identiti pallet seperti gambar dibawah hanya terdapat pada satu bahagian blok kayu sahaja pada setiap pallet.

Harganya memang murah dan berpatutan tetapi adakah berbaloi dengan risiko yang anda ambil? Adalah lebih selamat jika anda membeli pallet yang belum dileraikan dan meleraikannya sendiri ataupun membeli kayu pine baru untuk tujuan membuat perabut dan sebagainya.

 

 

 

kayu pallet merupakan kayu yang digunakan untuk membuat pallet. 

Pallet yang diperbuat menggunakan kayu dan terdapat dipasaran terbahagi kepada 2 jenis:

1. Pallet menggunakan kayu tempatan/hutan. Pallet jenis ini digunakan untuk pasaran domestik.

2. Pallet yang menggunakan kayu pine. Pallet jenis ini adalah pallet yang digunakan untuk tujuan eksport/import barang dagangan.

Kebiasaannya, para penggemar perabut diy hanya mencari kayu pallet dari spesis jenis kayu pine (pinewood). Ini adalah kerana corak kayu pine amat menarik dan ianya mudah untuk di potong serta ringan berbanding dengan kayu tropikal.

Kebanyakan perabut yang terdapat di IKEA juga menggunakan kayu pine dan sememangnya sangat menarik.

 

Contoh jenis-jenis kayu pallet